*Kuhantar Bintang Ke Langit *
*
*
*DESING kuat dari langit kesan laluan laju cahaya jingga berekor kebiruan
membuatnya terjaga. Dia memandang keliling. Batu gua itu sejuk. Mata
teduhnya memandang roti dalam bekas keemasan di sisi perbaringan. Pun ada
air minuman masih suam, belum berusik dalam koleh, juga keemasan. Dia sentuh
roti itu masih lembut. Bau harum gandum baru dikeluarkan dari bara pembakar
dalam loyang acuan metah menyegarkan.
Kedua-dua tangan diangkat tinggi tegang ke atas, ke depan dan mendepa kanan
kiri. Kedua-dua kaki dilunjur lurus.
Dia berkalih. Tersentap dia tatkala memandang bias daripada kocak air di
kolam; rambut panjang mencecah lantai, seputih kapas. Alis juga seputih
kapas. Kuku tangan dan kaki sama panjang dengan jari jemari, melengkung
seperti belulang kering. *
**
**
*Dia terkesima. “Kau siapa?”
Lama Dia memikir. Dibelek-belek bayangan itu. Wajah itu masih miliknya. “Aku
rupanya.” Dia membersihkan diri. Mandi air dari telaga dingin diapungi
bunga-bungaan. Kuku dan rambut dipotong. Muka, kaki, tangan, telinga dan
ubun-ubun dibasahi air wuduk.
Keluar dari gua, hidungnya kembang kempis. Dia bersin beberapa kali. Bau di
luar tidak senyaman dulu. Ada pengit seperti batu dan besi serta getah
terbakar. Ada hancing seperti air buangan sisa kumbahan dari dalam usus. Ada
busuk seperti bau bangkai. Dia mencari-cari batu hangus itu. Ketika itu,
sebutir meteor berdesup jatuh dari langit, lalu terdampar beberapa meter
dari tempatnya berdiri. Gegerannya sedikit kuat. Perlahan Dia hampiri batu
itu. “Kau jatuh, atau terjatuh dari langit tinggi? Kenapa mencemar diri di
bumi yang pelbagai warna dan bau ini?” Dia mengusap ketulan makas panas
dipegang dengan tangan yang sudah menongkah zaman. *
*“Aku bukan jatuh atau terjatuh, tapi dijatuhkan. Perjuangan damaiku dengan
slogan: berikan kasih sayang ilmu dan makanan bukan senjata, kebuluran dan
peperangan ditentang habis-habisan. Aku dilabel penghasut. Penyokongku
berpaling tadah apabila disogok emas berbongkah. Aku bukan lagi penghuni
alam yang tinggi itu. Aku bukan lagi sebutir bintang mengerdipkan sinar pada
gelap suram dan temaram di sekitar diri.” Sedu-sedan batu itu turut
menghibakan hatinya.
“Bumi bukan tempat buangan. Engkau masih layak menjadi bintang. Engkau
ditendang ke bumi luar bukan kerana kesilapan seperti Adam dan Hawa yang
diusir dari syurga selepas memakan buah khuldi setelah dihasut syaitan.”
Lalu dia meluncur naik menghantar batu pejuang kembali menghuni cakerawala.
Kakinya kembali berpijak semula di bumi. Dia berjalan menyusur pesisir. Kaki
jubah basah diresapi air laut. Air masin itu jadi tawar sebaik terkena
jubah. Di tepian pantai biru jernih itu dilihatnya banyak sekali batu
berserakan. Pelbagai saiz dan warna. Dia berdiri memerhati dengan mata redup
dan teduh. Dia turut mendengar keluh resah berbaur antara debur ombak di
pantai. Ada rintih bertindih-tindan dan bersipongang di situ.
“Kenapa menangis?” Dia menancapkan mata redup teduhnya ke atas pepasir dan
batu-batu lecun dijilat lidah laut. *
*“Kembalikan aku ke langit.” Suara banyak berlapis bertindih-tindan itu
mendayu-rayu.
“Aku ingin naik ke langit. Aku belum pernah ke langit tinggi. Langit terlalu
tinggi dan luas, mustahil boleh digapai tanpa sebarang bantuan.” Beberapa
suara berbeza nada dan gema berebut-rebut menusuk lohong telinganya.
“Aku mahu menjadi bintang. Hantarlah aku ke langit. Dari atas langit
bintangku jika menyinar dilihat semua makhluk di bumi dan cakerawala lain.
Di bumi aku lemah dan lemas. Aku bosan hidup sebagai makhluk biasa-biasa
saja. Jika menyinar pun, sinaranku kebanyakannya tertampan pada bangunan
mercu tanda tinggi-tinggi, lalu tidak sampai ke mana. Aku mohon hantarlah
aku ke langit. Hanya yang dianugerahi kuasa mampu mengembalikan kerdipan di
langit.” Beberapa batu putih seputih ketulan ais kutub utara dan selatan
kecil besar berlumba-lumba menerpa kakinya. Basah lecun kakinya. Lecun
disentuh lidah laut, basah dek tangisan batu-batu.
“Aku! Aku! Aku! Tolong hantarkan aku kembali ke langit. Aku berasal dari
langit, aku mesti tinggal di langit!” Sebutir batu hitam menghempas-hempas
jarak sehasta di hadapan kakinya.
“Semua batu berasal dari langit berwarna putih, kenapa engkau hitam?”
“Inilah dosa berat yang kutanggung. Aku bukan sekadar dicampak ke bumi,
malah wajah dan seluruh anggotaku jadi hitam legam. Tapi aku sudah
bertaubat. Aku tidak lagi mahu melakukan dosa-dosa itu. Tolong kembalikan
aku pada warna putih bersih seperti awan yang tidak mengandung hujan. Aku
taubat. Taubat nasuha. Tidakkah taubat hamba yang insaf, diterima?”
“Jika begitu apa dosamu batu hitam?” mata redupnya menerobos seluruh zat
batu yang berbau tengik itu.
“Banyak sekali. Tidak terhitung dengan jari. Antaranya termasuk mencederakan
ibu tua yang tinggal sendiri serta merogol kemudian membunuhnya. Anak-anak
hasil perogolanku terhadap wanita muda kubenam dalam air agar tidak jadi
beban kepadaku. Ibunya juga kubenam sama sampai tidak bernafas agar dia
tidak mengkhianati selepas puas kukerjakan. Aku mahu jadi batu yang
betul-betul putih, bersinar memberi cahaya kepada alam semesta. Aku ingin
kembali ke langit. Tolong hantarkan aku ke sana!”
“Engkau tidak akan jadi putih semula tanpa usaha pemutihan. Engkau mesti
diputihkan dulu dengan sesungguh hati sebelum dihantar kembali ke langit.”
Batu hitam melantun masuk ke dalam tasik jernih hijau kebiruan,
bergolek-golek menggosok badan dengan pepasir halus, mempelas dan sabun
wangian bunga lavendar. Selepas berhari-hari menggosok dan berlangir
badannya yang hitam tidak juga jadi putih. Malah air tasik yang tadi jernih
biru kehijauan, bertukar jadi keruh hitam pekat. Batu hitam menangis,
meraung-raung. Air matanya juga hitam likat sehitam dakwat sotong. “Kalau
begini, biar aku mati! Biar aku mati!” lolongannya memeranjatkan seluruh
hidupan bumi. Kodok bufo-bufo rasa terancam lalu menyorok ke bawah sungkup.
“Mari,” Dia angkat batu hitam yang masih menggeletar di dasar tasik, lalu
dibersihkan. Batu hitam beransur hilang hitamnya. Namun kasyafnya melihat di
dasar paling jauh di tengah hati batu itu sebutir titik hitam temaram di
sana.
“Hantar segera aku balik ke langit.” Batu hitam melantun-lantun minta
diangkat. Dia bawa batu hitam terbang ke langit tinggi. Setibanya di alam
lazuardi tanpa secalit awan pun (seperti langit yang memayungi Kaabah) dia
lepaskan batu hitam. Pantas Dia kembali turun ke bumi. Dari atas puncak
gunung Dia berdiri memandang ke langit. Dia lihat kerdipan beberapa bintang
baru dihantarnya ke sana tadi. “Bintang-bintang mulai bersinar,” dia senyum.
Sebutir batu berdesur jatuh tidak jauh dari tempatnya berada. Dilihatnya
batu hitam yang baru dihantarnya tadi, terkulat-kulat ditimbus timbunan
tanah yang turut berubah jadi hitam berbau tengik hangit.
“Engkau?” baru perkataan itu sempat disebut, tiba-tiba batu itu bergolek
lalu jatuh dan tergantung di awangan. Dia memandang batu yang sudah pun
kembali hitam.
“Aku bersahabat dengan bomoh yang menggunakan kuasa syaitan demi kekayaan
dan kesenangan hidup. Tolong hantar aku kembali ke langit dan pastikan kali
ini aku tidak jatuh semula.” Suara batu hitam keras mendesak.
“Aku tidak punya kuasa mengekalkan sesiapa terus berada di atas sana. Engkau
tahu siapa boleh mengampuni dosamu.” Pantas dia meninggalkan batu hitam.
Kakinya disenggayuti batu-batu putih jernih sedang berhimpun dalam sebuah
kawasan dipenuhi bunga-bunga keindahan. Suara keriangan diperdengarkan.
Hantarkan kami ke langit sujana/Biar jadi bintang bercahaya/Kami indahkan
alam semesta dengan rangkaian aksara/Biar seluruh cakerawala terpesona/
Sejuk hatinya mendengar ungkapan. Ralit mata memandang wajah-wajah yang
berhias gugus-gugus madah itu. Dia memandang batu-batu jernih seperti
ketulan ais turun sebagai hujan batu dari langit itu dengan asyik.
“Kami ingin menjadi bintang.”
“Kamu pernah naik ke langit?”
“Tidak. Sebab itu kami ingin ke sana. Ingin menjadi bintang cantik mengerdip
di langit tinggi.”
Ringan hatinya mendengar permintaan itu. “Ya. Akan kuhantar bintang ke
langit. Biar langit sentiasa bersinar dengan kerdip keindahan.”
Segera ditatangnya bukan sebutir tapi puluhan batu-batu jernih sejernih
embun pagi di kelopak mawar merah itu naik ke langit. Puluhan kali dia naik
menghantar batu-batu bakal mewarnai langit nan satu.
“Aku ingin menjadi bintang.” Batu jernih dan dingin itu menguntumkan senyum
bagaikan padma sedang mengorak kelopak. “Aku sudah cukup bersedia dengan
ilmu dan pengetahuan di dada.”
“Kuhantar engkau ke langit. Jadilah sebutir bintang yang bersinar dan
mengindahkan alam luas di atas sana dengan kerdipan cantikmu.” Sebaik tutur
kata selesai diucapkan batu jernih itu sudah pun berada di langit.
Batu-batu jernih tunduk hormat mencium kura tangannya.
Dia ucapkan, “Selamat menempuh dunia baru. Dunia keindahan penuh cabaran.”
Sebaik kaki memijak bumi, gemuruh bunyi hujan batu turun menimpa pepohon,
gunung, bukit, sungai, tasik, danau dan rerumput hijau. Dia tenang
memandang. Batu jernih sejernih air mata rupanya yang gugur. Gugur sebagai
hujan yang dingin lagi putih bertebaran di serata tempat.
“Begitu pantas engkau turun? Kenapa? Kata hendak jadi bintang?”
“Kami turun selepas tidak mampu mengerdipkan cahaya di atas sana. Kami
kekurangan tenaga untuk mengeluarkan sinaran cantik sebutir bintang.”
Berdesup, berpuluh butir batu cantik jernih kembali turun di sisi kakinya.
Dia tidak lagi bertanya. Dia pasti batu-batu jernih putih itu memberikan
jawapan yang sama dengan yang pertama ditanyai tadi.
Dia mendongak memandang langit. Banyak juga batu-batu sejernih ais
dihantarnya tadi berjaya menghias angkasa di sebalik awan-gemawan bersama
cakerawala lain mengerdip indah, menyerak cahaya memancar wibawa.
Banyak yang berjaya, banyak pula yang gagal, gugur, lalu sangkut
terkial-kial di atas awan-gemawan mencari laluan untuk kembali ke langit
sebagai bintang dengan kekuatan dan ilmu yang tebal di dada.
“Kejayaan diperoleh dari apa yang kita usahakan, bukan semata-mata daripada
apa yang kita ketahui.” Mata Dia mengerdip seperti bintang tatkala dia
menengadah ke langit.*
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment